Thursday, April 24, 2008

BICARA ILMIAH

Bismillahirrahmanirrahim....
Pondok Teras Pembangunan Insan Sepadu

Institusi pengajian pondok merupakan antara sistem pengajian awal yang tumbuh di negara ini selepas melalui suatu zaman di mana kebanyakan rakyat jelata belajar ilmu secara tidak formal dengan tiadanya sebarang institusi tersusun dan tetap. Kita dapat melihat bagaimana dari dahulu sehingga sekarang sistem pengajian ilmu agama samada pengajian kitab atau ceramah di masjid dan surau terus berlangsung sebagai tambahan dan juga pengisian yang penting walau pun telah wujud sistem pengajian yang semakin berkembang dengan pesat melalui sistem pengajian formal yang lebih tersusun. Begitulah juga yang berlaku terhadap institusi pengajian pondok yang terus kekal walau pun tidak serancak zaman kegemilangannya dalam mengeluarkan golongan faham agama yang mampu bergerak bersama arus perdana dalam menyumbangkan khidmat dan bakti demi kepentingan agama dan negara. Institusi pengajian pondok dengan falsafah pendidikannya yang tersendiri disamping beberapa keistimewaan yang tidak mampu diambil alih oleh sistem pendidikan moden tetap menjadi pilihan sebagai pusat pendidikan alternatif sehingga ia mampu bertahan sehingga hari ini.
Sistem pengajian tradisional yang diwarisi daripada ulama' silam terus dipertahankan oleh institusi pondok sehingga ia pada zahirnya nampak lemah tetapi hakikat asasnya begitu teguh dan utuh yang tidak goyah ditiup angin peredaran zaman dan tidak runtuh dipukul ombak perubahan masa. Apa yang pasti ialah sesuatu yang lama jika bermanfaat mesti dipertahankan daripada mengagungkan sesuatu yang baru dan moden sedangkan ia nampak cantik buat seketika dan manfaatnya tidak lama di mana akhirnya ia memakan diri kita sendiri. Begitulah yang sedang menimpa sistem pendidikan moden yang gah dari segi pembangunan material dan tersusun dari segi sistem pengajiannya tetapi bagaikan ada sesuatu yang tidak kena sehingga gagal dalam menangani masalah kepada meningkatnya masalah sosial di kalangan pelajar dan mereka yang habis belajar. Sikap menjadikan ilmu sebagai bahan jualan dan sijil sebagai suatu buruan menyebabkan amanah ilmu tidak lagi dijaga. Malah sikap buruk yang menyebabkan semakin tinggi ilmu yang dipelajari maka semakin kuat rasa megah dalam diri turut merosakkan akhlak masyarakat. Akhirnya ilmu yang sepatutnya menjadi bekal dan asas dalam melahirkan keperibadian yang mulia gagal dimanfaatkan sebaliknya ia disalahgunakan sehingga masyarakat menjadi rosak walau pun ilmunya banyak.
Menyedari tentang perlunya kita kepada asas pendidikan yang betul dan bertepatan dengan apa yang pernah ditunjuk oleh Rasulullah s.a.w serta diikut oleh para pewaris nabi daripada kalangan ulama' maka kita wajib mencontohinya agar kegemilangan ilmu dan tamadun Islam yang bersepadu antara kebendaan dan kemanusiaan dapat kembali berulang. Ambillah keistimewaan yang ada pada sistem tradisional untuk diadunkan dengan sistem moden sehingga kita tidak menjadi seumpama orang yang kerugian akibat membuang manfaat yang ada sedangkan apa yang dikejar belum tentu diperolehinya malah jika diraih pun belum tentu ia bermanfaat. Di samping itu semua institusi pengajian samada tradisional atau moden mesti bekerjasama dalam setiap perkara dalam menangani masalah buta agama serta pembinaan tamadun yang berasaskan islam mengikut kepakaran dan kemahiran yang ada hasil daripada ilmu yang ditimba. Hentikan perselisihan yang ada yang menyebabkan kita kerugian masa dan tenaga sedangkan tugas kita terlalu banyak berbanding waktu yang begitu terhad. Setiap diri kita mempunyai tanggungjawab untuk ditunaikan di mana jangan sia-siakannya dengan menghabis masa untuk membincangkan kelemahan orang lain. Orang yang bersibuk-sibuk berbincang tentang keaiban orang lain akan menyebabkan dirinya semakin hampir kepada kebinasaan akibat tiada masa untuk memperbaiki kelemahan diri sendiri yang tidak dihiraukan lagi. Fikirkanlah tanggungjawab kita yang begitu banyak dan jangan terlalu memikirkan waktu rehat kita yang semakin singkat.

No comments: